Sunday 2 April 2017

BAHAYAKAH BAYI DALAM KANDUNGAN BILA SI IBU TERKENA JANGKITAN KAYAP?


Kayap disebabkan oleh virus herpes zoster iaitu virus yang juga menyebabkan cacar air (chickenpox). Ia berupa ruam-ruam kecil yang menyakitkan, biasanya terdapat pada lengan, kaki ataupun badan.

Anda tidak mendapat kayap daripada orang lain. Ia sudahpun ada dalam badan anda ketika anda menghidap cacar air. Virus ini boleh tinggal di dalam badan manusia secara senyap selama beberapa tahun, tetapi boleh aktif semula dan keluar sebagai ruam kayap yang menyakitkan.

Walaupun terdapat kaitan rapat di antara kayap dan cacar air, tiada bukti yang menunjukkan bahawa kayap yang berlaku semasa hamil akan menyebabkan sebarang masalah pada bayi. Ini mungkin kerana anda telahpun lali terhadap virus tersebut, dan pelalian ini disalurkan kepada bayi dalam kandungan anda.

Kayap tidak membahayakan, sebaliknya, cacar air boleh menyebabkan masalah. Terdapat segelintir kecil bayi yang ibunya menghidap cacar air ketika hamil dilahirkan dengan kecacatan.

Walaupun anda tidak menjangkitkan kayap kepada orang lain, ada kemungkinan virus itu disebarkan sebagai cacar air. Oleh sebab ini, sekiranya anda mengalami kayap, elakkan daripada mendekati wanita hamil yang lain. Lebih baik jika anda tunggu sehingga ruam di kulit anda telah kering dan sembuh sepenuhnya, terutamanya jika ruam itu ada pada bahagian badan yang tidak dilitupi oleh pakaian.

Doktor anda boleh menyarakan bentuk rawatan yang boleh membantu merawat simptom-simptom itu. Kaedah rawatan yang disyorkan mungkin tidak begitu sesuai bagi wanita hamil, jadi anda perlu berbincang dengan doktor anda dan menimbangkan kebaikan kaedah rawatan tersebut berbanding risiko yang terlibat.


sumber :
http://www.babycenter.com.my


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...