Sekiranya anda biasa bersenam ketika sebelum hamil, teruskan sahaja rutin tersebut. Selagi berasa selesa, anda boleh meneruskan aktiviti senaman tersebut. Bagaimanapun anda mungkin terpaksa mengurangkan jarak larian, masa dan kekerapan senaman apabila tarikh jangkaan bersalin semakin hampir.

Sebaiknya ikutlah naluri badan anda dan jangan sekali-kala memaksa diri sekiranya badan sudah terlalu penat. Berikut adalah panduan melakukkan senaman mengikut setiap trimester:

Trimester pertama: Elakkan diri anda daripada menjadi terlampau panas, terutamanya semasa trimester pertama. Ini boleh membahayakan bayi. Jadi, jangan terlalu memaksa diri, dan jangan berjoging atau berlari semasa cuaca terlalu panas dan lembap.

Trimester kedua: Pusat graviti anda sedang beralih tempat dan kandungan pula semakin membesar. Ini akan menyebabkan anda mudah tergelincir dan jatuh. Untuk keselamatan, berlari hanya di permukaan jalan berturap yang rata. Jika anda hilang kawalan, cuba jatuhkan diri secara mengiring atau ke atas tangan dan lutut, dan bukannya ke atas perut.

Trimester ketiga: Teruskan berhati-hati seperti semasa di trimester pertama dan kedua. Ingat, jika anda berasa terlalu letih untuk berlari, berehatlah. Semakin anda menghampiri tarikh kelahiran, anda mungkin mengalami kesakitan di bahagian yang tidak pernah sakit sebelum ini.