Sunday, 19 October 2014

KEPALA ANAK TERHANTUK..BAHAYAKAH?

Anak-anak selama nak membesar banyak betul dugaan kita sebagai ibubapakan? lebih-lebih kalau anak lelaki..lasaknya bukan main. Saya ada dua orang anak lelaki..dua2nya bukan lah jenis budak yang nakal atau lasak tetapi terjadi jugak kejadian yang tak diduga seperti terhantuk atau jatuh menyebabkan dahi menjadi benjol. Jika ini terjadi risaunya tuhan yang tahu.

Pernah anak lelaki saya Fayyadh jatuh dari tempat yang tinggi iaitu pagar tangga ketingian hampir 2 meter dan kepala jatuh di atas simen. Kepala bengkak tapi mujur tak ada pendarahan berlaku (seperti gambar) Memang menyeramkan hati saya saat itu...saya berkejaran ke klinik dan apabila anak saya muntah-muntah saya membawanya ke hospital dan ditahan di wad selama 3 hari. Ibu mana tak sedihkan..tapi syukur alhamdulillah tidak ada kesan yang buruk akibat kejadian itu.

Jadi hari ini saya ingin berkongsi info yang berguna yang saya dapat daripada doktor kanak-kanak tentang kesan anak terhantuk kepala.
Apabila anak terjatuh dan mengalami hentakan di kepala, saya rasa semua ibu bapa akan menjadi risau kerana takutkan pendarahan di dalam kepala tetapi tidak semua hentakan mesti disusuli dengan pendarahan. Lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak (‘skull’) dan otak. Apabila ada hentakan atau trauma ke kepala ia boleh menyebabkan kecederaan kepada kulit, tengkorak atau/dan otak.

head1
‘Scalp’ = Kulit Kepala ‘Periosteum’ dan ‘Skull bone’ = Tengkorak ‘Dura mater’, ‘Subdural space’, ‘Subarachnoid space’ dan ‘Brain’ = sebahagian dari struktur-struktur Otak

Menurut pakar apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan tetapi jika luka tersebut besar dan melibatkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan pendarahan yang serius. Sekiranya terdapat luka pada kulit selepas hentakan ialah dengan mengenakan tekanan pada luka menggunakan kain yang bersih.

Jika pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa ke klinik atau hospital berhampiran sambil terus menekan luka tersebut. Selain daripada luka ada juga kecederaan kepada kulit kepala yang disusuli dengan benjol sahaja.

Benjol boleh disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pendarahan di bawah kulit dim ana darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak. Ini bermakna pendarahan tersebut di luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang oleh tengkorak.

Mangsa mungkin akan merasa sakit di tempat benjolan tersebut dan mungkin lebih sakit jika benjol tersebut ditekan.Anda boleh melakukan ‘Cold compress’ atau tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan tersebut reda/kurang. ‘Hot compress’ atau tuaman panas boleh mengurangkan sakit tetapi harus disusuli dengan tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak. Darah beku tersebut akan perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dah benjolan/bengkak akan surut dan hilang.

Walaupun begitu apabila ada benjol ianya tidak bermaksud pendarahan hanya berlaku di luar otak dan tiada pendarahan berlaku dalaman otak.

Namun kita perlu beri perhatian jika dia menunjukkan simptom-simptom yang menandakan pendarahan otak. Rawatan segera perlu diberikan. Benjol yang disebabkan oleh pendarahan di bawah kulit biasanya akan hilang dengan sendirinya dalam masa satu hingga dua minggu.

Kecederaan kepada tengkorak dan otak mempunyai kesan yang lebih serius berbanding kecedaraan kepada kulit sahaja dan keduanya boleh berlaku tanpa apa-apa kesan kepada kulit. Ini bermakna jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa tidak ada luka atau benjol atau apa-apa tanda kecederaan ia tidak bermaksud tidak ada pendarahan atau kesan kepada otak.

Kesan hentakan kepada tengkorak yang serius adalah keretakan kepada tengkorak. Apabila ada keretakan kepada tengkorak ia bermaksud hentakan yang sangat kuat dan ada risiko kesan serius kepada saraf dan otak. Ia juga akan menyebabkan otak terdedah kepada risiko jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui retak di tengkorak ke otak.

Selain daripada keretakan tengkorak, kecederaan ke otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman otak. Bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman otak boleh berlaku di mana-mana di dalam otak.
Antara simptom-simptom pendarahan dalaman otak atau kecederaan kepada otak adalah :-

1.Pengsan selepas trauma
2.Otot menjadi lemah atau sebahagian/semua badan tidak boleh bergerak
3.Amnesia/Hilang ingatan
4.Keliru
5.Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya
6.Sawan
7.Muntah lebih dari sekali
8.Tidak dapat bercakap dengan betul atau muka menjadi senget sebelah
9.Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga
10.‘Pupils’ atau mata hitam tidak sama saiz
11.Penglihatan kabur atau nampak objek lebih dari satu

Jika ada simptom-simptom ini janganlah berlengah lagi untuk membawa mangsa ke hospital yang berdekatan. Jika doktor sudah memeriksa anak dan membenarkan anak di bawa pulang, kebiasaanya doktor akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya dalam 24 jam yang pertama untuk tanda-tanda seperti di atas.
Jika mangsa tiada simptom-simptom seperti yang dinyatakan di atas janngan risau kerana keberangkalian pendarahan dalaman otak adalah tipis tetapi untuk mangsa pulih sepenuhnya daripada hentakan tersebut boleh mengambil masa berminggu malah ada yang hingga berbulan untuk pulih sepenuhnya. Bagaimanapun kebanyakan kes yang tiada tanda pendarahan dalaman otak, mereka akan pulih sepenuhnya tanpa ada apa-apa kesan jangka masa panjang walaupun tempoh untuk pulih mengambil masa yang lama.
Selain dari itu ibubapa juga dinasihatkan untuk :
1.Memberi Paracetamol sahaja jika perlu ubat untuk mengurangkan sakit. Tidak disarankan untuk memberi ubat dari kategori NSAID (‘Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs’) seperti Ibuprofen (Brufen, Bifen, Buprol-B, Ibufac, Nurofen) atau Diclofenac (Cataflam, Voren).
2.Memberi makanan yang mudah dihadam seperti bubur dan buah-buahan.
3.Membenarkan anak membuat atau bermain aktiviti-aktiviti yang ringan. Aktiviti berat dan ‘contact sports’ harus dielakkan dahulu. Aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan hentakan kepala harus dielakkan juga
4.Mengelakkan dahulu aktiviti-aktiviti yang memerlukan konsentrasi seperti membaca dan membuat kerja sekolah
5.Membenarkan anak untuk tidur apabila kembali daripada hospital. Bagaimanapun anak hendaklah perlu diperiksa dan dikejutkan secara lembut setiap 2-3 jam. Jangan dibiarkan anak tanpa perhatian dalam tempoh 24 jam pertama.
6.Apabila dikejutkan cuba bertanya soalan-soalan mudah seperti nama mereka
7.Cuba lihat mata hitam mereka (‘pupils’) jika saiznya sama. Jika berbeza hendaklah dibawa terus kepada doktor. (Anda mungkin tidak dapat memastikan ini, maka sekiranya musykil, dapatkan pemeriksaan doktor)

Tips Mengelakkan anak terjatuh

Kata orang ‘Beringat Sebelum Terkena’jadi kita sebagai ibubapa perlu cuba mengelakkan kejadian ini berlaku. Boleh lakukan langkah2 di bawah : Antaranya :

1.Memasang ‘grill/window guard’ kepada semua tingkap yang boleh dibuka di rumah
2.Memasang pagar keselamatan pada tangga rumah jika ada
3.Memastikan tiada barang-barang atau mainan pada tangga yang boleh menyebabkan anak terpijak dan jatuh
4.Memastikan anak tidak bermain-main di tangga atau pun melompat-lompat antara perabot
5.Jangan membiarkan bayi/anak kecil di tempat tinggi seperti atas katil atau sofa
6.Memastikan palang katil/’cot’ sentiasa diangkat apabila anak di dalam ‘cot’
7.Jika boleh tidak membeli permainan ‘trampoline’ untuk digunakan di rumah
8.Jika berbasikal, bermain papan roda (‘skateboard’) atau kasut roda hendaklah memastikan topi keledar dipakai
9.Menggunakan ‘car seat’ khusus untuk anak (bergantung pada umur) apabila menaiki kereta

Sumber rujukan: Majalah Pa&Ma

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...