Apabila anda berada dalam keadaan tertekan, pernafasan akan terganggu. Lalu, menjejaskan kelancaran proses pelahiran. Info daripada Dr. Siti Esah Bahari, doktor pakar perbidanan dan sakit puan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam.
Pernafasan yang bagus memainkan peranan penting sewaktu anda berada dalam fasa pelahiran. Selain membantu kelangsungan proses bersalin, pernafasan yang lancar dapat mengelakkan otot daripada mengalami ketegangan atau kekejangan. Jika tidak, ia akan menggugat proses meneran apabila ketika tiba saat itu, anda sudahpun keletihan.
Lebih daripada itu, pernafasan yang lancar akan membuatkan anda memberi tumpuan kepada pernafasan dan bukannya terhadap kesakitan yang semakin kerap dialami. Antara lain, anda dapat memaksimumkan bekalan oksigen di mana ia baik untuk diri anda sendiri, bayi dan otot-otot yang berkait langsung dengan proses kelahiran.
Ketahuilah bahawa apabila anda tidak bernafas dengan baik, ia akan mencetuskan suatu keadaan yang dikenali sebagai pernafasan panik. Apabila bernafas terlalu pantas, ia akan menyebabkan hyperventilation. Hal ini berlaku kerana terlalu banyak karbon dioksida dikeluarkan yang akhirnya menjadi punca anda mengalami pening dan kebas di mulut serta jari-jemari. Langkah terbaik bagi mengatasi masalah ini ialah dengan menekup mulut menggunakan beg plastik atau tangan sendiri, seterusnya menghidu karbon dioksida perlahan-lahan.
Dr. Siti Esah menegaskan bahawa amat penting untuk setiap wanita hamil mengikuti kelas antenatal terutamanya yang melalui kehamilan pertama. Dalam memilih kelas antenatal, anda digalakkan untuk memastikan kelas yang ditawarkan menyentuh aspek pernafasan. Pada masa yang sama, adalah lebih baik jika anda menghadiri kelas tersebut bersama suami agar dia dapat mengajar teknik pernafasan yang betul ketika anda sedang menghadapi kontraksi kelak selain daripada sokongan moral.
Kurang oksigen
Kekurangan oksigen sepanjang proses bersalin berlangsung boleh mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada diri anda malah kepada bayi juga. Banyak komplikasi yang bakal dihadapi kesan daripada tindakan tidak bernafas dengan cara yang betul.
Kesan negatif pada ibu termasuklah otot rahim tidak berfungsi dengan baik. Malah, ia turut mengakibatkan penghasilan oksitosin berkurangan. Untuk makluman, oksitosin sangat penting untuk kontraksi rahim. Jadi, jika anda tidak bernafas dengan lancar, ia boleh merencatkan proses kelahiran. Di pihak bayi pula, disebabkan oleh kurang oksigen, denyutan jantung bayi akan terjejas. Ini dapat dilihat melalui bacaan kardiotograf (CTG) yang tidak normal.
Teknik bernafas
Anda boleh mula mengaplikasikan teknik pernafasan apabila mula merasai kontraksi yang tidak selesa. Biarpun, anda mempelajari pelbagai jenis pernafasan ketika di kelas antenatal, pilih satu yang bersesuaian dengan keadaan diri ketika di dalam bilik bersalin.
1. Peringkat awal (early labour)
Bernafas secara perlahan-lahan dengan menarik nafas melalui hidung tiga kali. Kemudian hembus nafas melalui mulut tiga hingga empat kali. Dalam pada itu, hembuslah lebih lama berbanding tarik nafas.
2. Peringkat aktif (active labour)
Ketika sakit bertambah kuat, hela nafas terlebih dahulu. Disusuli dengan tindakan menarik dan menghembus nafas. Apabila sakit semakin ketara bernafaslah secara cepat dan tidak dalam. Pada kemuncak kontraksi, pernafasan secara tercungap-cungap melalui mulut (panting) boleh membantu. Setelah kontraksi beransur hilang, bernafaslah seperti biasa secara perlahan-lahan.
3. Peringkat transisi (Masa bersalin hampir tiba tetapi pangkal rahim belum buka sepenuhnya)
Anda tidak digalakkan meneran kerana ini boleh memudaratkan.Lakukan pernafasan panting namun jangan teran pada punggung. Sebaik-baiknya panting-panting – hembus.
INFO TAMBAHAN
Pernafasan Lamaze
Masyarakat Barat sangat menggemari kaedah pernafasan Lamaze. Dengan mengaplikasikannya, keadaan anda akan lebih terkawal. Apabila tumpuan dihalakan kepada pernafasan, maka kesakitan dapat diabaikan. Caranya ialah dengan bernafas sambil menyebut perkataan hee-hee-hoo.
Namun, adalah dinasihatkan agar kerap melakukan latihan sebelum tiba masa untuk bersalin kerana dikhuatiri bila tiba masanya anda tidak dapat melakukannya dengan baik kerana kurang berlatih. Tambahan pula ketika sakit anda tidak dapat menumpukan perhatian kepada teknik pernafasan yang betul. Oleh kerana itulah, amat penting untuk suami turut serta dalam kelas antenatal agar dia dapat memberi panduan ketika anda mengalami kontraksi.
Teknik betul meneran
Bayangkan keadaan seperti hendak membuang air besar. Pastikan dagu dirapatkan ke dada dan anda berkeadaan sama seperti udang membengkok. Ketika ini belakang badan perlu menyentuh katil. Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen ke bawah seperti diarahkan oleh doktor dan jururawat. Bila berlaku kontraksi, tarik nafas lalu meneran selama yang boleh. Dalam satu kontraksi, anda digalakkan mengambil nafas sebanyak dua hingga tiga kali. Meneran haruslah dari bahagian abdomen ke punggung dan bukannya di muka. Jangan sesekali mengangkat punggung kerana ia boleh menyebabkan koyak yang besar. Apabila bayi di tahap akhir pelahiran iaitu sebahagian kepala bayi mula kelihatan jangan meneran terlalu kuat. Teran perlahan lahan untuk mengelakkan koyak teruk.
(Sumber: Majalah Pa&Ma Mac 2012)
Hi, salam perkenalan :)
ReplyDeletepls visit: http://satujanjikita.blogspot.com
Salam perkenalan sis..
ReplyDelete